Blog ini adalah berbentuk blogspot berinformasi dan bertujuan untuk memberikan maklumat tentang kampung yang terdapat dalam kawasan Mukim Rosok sahaja. Segala komen-komen yang membina adalah sangat dihargai, namun bagi komen-komen negatif, berunsur lucah dan politik adalah dilarang sama sekali dipaparkan dalam Blog ini. Sekian.

Thursday, January 10, 2013

JELALAH ROSOK 1

Salam satu Malaysia,

     Setelah sekian lama BLOG ini tidak dibuka oleh penulis, maka hari ini tergerak hatinya untuk memasukkan sepatah kata dalam BLOG ini sebagai entry tambahan menjelang tahun baru ini. Penulis ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan SELAMAT MENYAMBUT TAHUN BARU kepada semua warga ROSOK dan para pengunjung yang sudi bertandang dalam BLOG ini. Terima Kasih.

     Cuti menjelma maka 'kesibukan' juga turut diundang untuk menguruskan acara yang tidak pernah untuk berhenti sejak beberapa tahun yang lepas lagi. "Kesibukan" tersebut tidak lain tidak bukan adalah kesibukan masyarakat ROSOK untuk menguruskan acara perkahwinan sepanjang cuti sekolah (pertengahan bulan November--December). Maka dengan itu, tidak hairanlah sekitar bulan ini digelar sebagai 'BULAN MENGAWAN' kerana terlalu banyak acara kahwin yang dilangsungkan dalam kawasan Mukim Rosok ini. Mungkin bagi sesetengah pihak bahawa ungkapan ini adalah agak kasar bunyinya, namun istilah ini adalah sudah biasa bagi masyarakat di Mukim ini kerana penerimaan masyarakatnya yang agak terbuka dan humor.

     Sebagai sumber pengetahuan yang lebih kepada para pengunjung/pelawat BLOG ini, di Mukim Rosok ini dianggap sebagai satu Mukim yang sangat Beruntung berbanding kebanyakan Mukim-mukim yang lain. Keberuntungan yang penulis maksudkan ialah tentang faktor kemudahan yang terdapat di kawasan Mukim Rosok. Mukim Rosok sememangnya mempunyai beberapa kemudahan yang masih aktif sehingga kini iaitu kemudahan Klinik Desa, Balai Polis, Perpustakaan Desa, Sekolah Rendah Kebangsaan Rosok, gelanggang Futsal, Tamu dan Pusat Latihan Komputer selain kemudahan Dewan Rakyat yang agak luas dan selesa.

     Masyarakat di Mukim Rosok juga adalah masyarakat yang ramah antara satu dengan yang lain. Masyarakat di kawasan ini majoritinya adalah etnik Dusun Tindal dan beragama Kristian serta Islam. Walaupun dua agama ini tampak berbeza namun ianya tidak menghalang semangat kekitaan antara masyarakat di Mukim ini. Hal ini terbukti dalam pelbagai acara yang akan dianjurkan di Mukim ini misalnya perayaan sambutan Kaamatan pada sekitar bulan Mei dan Jun. Masyarakat yang berbeza agama ini tidak kekok untuk melakukan kerja bersama-sama bagi menyediakan makanan kepada masyarakat sepanjang perayaan tersebut. Perkara ini tidak berhenti di situ sahaja, malah ianya turut dapat dilihat semasa majlis kahwin berlangsung. Penulis sendiri berasa sangat teruja dan berpuas hati melihat betapa akrabnya dan amannya suasana di Mukim ini. 

     Semangat kekitaan yang penulis nyatakan sebentar tadi juga dapat dilihat menjelang aktiviti yang dilaksanakan. Semangat kekitaan nyata apabila aktiviti gotong-royong dilakukan sama ada secara perlaksanaan rancangan ataupun secara kebetulan. Maksudnya, masyarakat di Mukim ini sentiasa memberikan pertolongan/bantuan tidak kira masa dan tempat khususnya di Kawasan Mukim Rosok ini. Antara aktiviti gotong-royong yang selalu dilakukan adalah aktiviti memasang Kem Pasang Siap untuk majlis-majlis Masyarakat misalnya majlis kahwin dan kaamatan. Selain itu, gotong-royong untuk membersihkan kawasan tadahan air dan tali air untuk tujuan pengairan sawah padi juga sentiasa dilakukan hingga kini.

     Sekadar itu sahaja perkongsian kita pada kali ini. Penulis akan membuat penulisan semula pada masa yang akan datang dengan topik yang lain. Sekian, terima kasih.

No comments:

Post a Comment